Program USM Santuni Masyarakat
6 Disember 2022 – Pengkalan Hulu, Gerik, HELWA Pusat Islam Kampus Kejuruteraan dengan kerjasama Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan USM, Masjid Al Malik Khalid USM, My Pusat Islam, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset telah menganjurkan Program Khidmat USM santuni masyarakat yang bertempat di Kediaman Abu Nur pada 6 Disember 2022 hari Selasa.
Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara staf USM dengan masyarakat terutamanya anak- anak di Kediaman Abu Nur. Selain itu, program ini diadakan untuk memberi sumbangan serta membaik pulih alatan kegunaan harian, membaik pulih perabot dan memasang kipas baru untuk keselesaan penghuni-penghuni di Kediaman Abu Nur.
Penganjuran program ini menjadi wadah terbaik bagi staf USM untuk mengenali sesebuah masyarakat terutama di luar bandar serta mendapat pengalaman untuk berperanan dan bersosial dalam komuniti masyarakat.
Program dimulakan dengan aktiviti pemeriksaan kesihatan yang diketuai oleh Dr Farhi Abidin dan Dr Sakinah pada jam 2 petang. Anak – anak di kediaman Abu Nur juga diberikan pendidikan tentang kebersihan dan penjagaan diri termasuklah kebersihan dan penjagaan rambut bagi mengelakkan pembiakan kutu rambut sekiranya tidak dijaga rapi.
Program dilanjutkan dengan penyampaian ceramah kesihatan yang bertajuk “Kebersihan Diri,dan Pencegahan Penyakit Berjangkit” yang disampaikan oleh Dr Sakinah bagi memberi kefahaman dan pendedahan tentang kepentingan penjagaan diri, kebersihan diri dan pengetahuan tentang penyakit - penyakit berjangkit dalam kehidupan seharian.
Dr Sakinah merupakan Pegawai Perubatan yang bertugas di Unit Kesihatan USM Kampus Kejuruteraan telah memberi penerangan yang terperinci dan sesi soalan jawab juga dibuka untuk penjaga - penjaga dan juga anak - anak di Kediaman Abu Nur bagi memastikan kefahaman yang baik berkaitan penyampaian ceramah kesihatan yang disampaikan.
Program Khidmat Masyarakat di Kediaman Abu Nur diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ustaz Shukri selaku Pengarah Pusat Islam USM Kampus Induk dan seterusnya dengan majlis penyampaian sumbangan oleh HELWA Pusat Islam Kampus Kejuruteraan untuk warga penghuni - penghuni di Kediaman Abu Nur. Program khidmat masayarakat berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik oleh semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini. Semoga ilmu yang dikongsi dapat dimanfaatkan dan program sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.