Cegah Influenza & Kenali 2019-Novel Coronavirus
Nibong Tebal, 18 Februari 2020 - Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan telah menganjurkankan satu seminar bertajuk "Cegah Influenza & Kenali 2019-Novel Coronavirus" bertempat di Dewan Seminar, Bangunan Pentadbiran, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia pada jam 9 pagi sehingga 11 pagi. Seminar ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan di mana peserta mencecah hampir 100 orang yang menghadiri dan menjayakan program ini.
Program ini bermula dengan pembukaan majlis oleh pengacara majlis, saudara Mohd Noor Safuan Bin Abd Halim dan bacaan doa oleh saudara Fairul Shafiq bin Ibrahim. Selepas itu, para peserta dihidangkan dengan tayangan video KKM bertajuk Influenza selama 3 minit dan demo teknik memakai pelitup muka yang betul oleh Jururawat Puan Zaiton Binti Mat Yusuff serta demo 7 langkah menggunakan Hand Sanitizer oleh Jururawat Puan Komathi A/P Marimuthu.
Bagi memeriahkan lagi majlis, semua peserta dijemput bermain Kuiz Kahoot dan hadiah diberikan kepada peserta yang menjawab soalan dengan paling cepat dan tepat. Lebih kurang pada jam 9.45 pagi, program diteruskan lagi dengan ceramah bertajuk "Influnenza dan Novel Coronavirus" disampaikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mas Harithufadhli Agus Bin Ab Rahman yang bertugas di Pusat Kesihatan Daerah Sebrang Perai Selatan Nibong Tebal.
Dr Mas Harithufadhli menyampaikan berkenaan pengenalan, tanda gejala dan cara pencegahan berkenaan influenza dan Novel Corona Virus yang kini mendapat perhatian global. Ceramah selama 1 jam itu mendapat perhatian daripada peserta dan sesi soal jawab dimanfaatkan oleh para peserta dengan bertanya pelbagai soalan yang berkaitan dengan wabak pandemik ini.
Pada jam 11 pagi, seminar ini berakhir dan penyampaian saguhati kepada penceramah yang sudi hadir memberi penjelasan yang mendalam tentang penyakit Influenza dan Novel Corona Virus. Terdapat juga pameran berkaitan dengan penyakit berjangkit di ruang legar Bangunan Pentadbiran yang disediakan oleh pasukan Promosi Kesihatan juga dari Pusat Kesihatan Daerah Sebrang Perai Selatan Nibong Tebal.