HIV/AIDS: Meningkatkan Kesedaran dan Pencegahan di Kalangan Mahasiswa IPT-Tanggungjawab Bersama.
HIV ialah virus yang menyerang sistem imun, khususnya sel CD4, menyebabkan kelemahan imun yang boleh berkembang menjadi AIDS iaitu tahap akhir jangkitan HIV . Sistem imun tubuh menjadi sangat lemah sehingga tidak dapat melawan jangkitan atau penyakit dengan gejala imunokompromi teruk, meningkatkan risiko jangkitan serius seperti tuberkulosis, meningitis, dan kanser seperti limfoma atau Sarkoma Kaposi.
HIV/AIDS menular melalui kontak cecair tubuh seperti darah dan cecair reproduktif, yang mana menyebabkan 42.3 juta kematian dan 1.3 juta jangkitan baru pada 2023. Awalnya lebih banyak melibatkan lelaki homoseksual dan pengguna dadah suntikan, kini pola jangkitan meluas, tidak lagi terhad di kalangan mereka yang mengamalkan hubungan intim berisiko namun turut mengancam termasuk wanita hamil dan kanak-kanak serta mereka yang tidak terlibat dengan amalan cara hidup berisiko. Kes baru HIV menurun sejak 2000an, tetapi antara 2010 hingga 2023, pola jangkitan mendatar dengan peningkatan dalam kalangan lelaki homoseksual atau biseksual.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ,berdasarkan notifikasi jangkitan kes dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ; terdapat peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang berumur antara 18 hingga 25 tahun. Data menunjukkan 214 kes pada tahun 2020, menurun kepada 186 kes pada 2021, namun meningkat kepada 221 kes pada 2022 dan 244 kes pada 2023.
Pada November 2023, bekas Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa menyatakan bahawa Malaysia merekodkan purata lapan jangkitan HIV sehari, dengan 77% kes melibatkan individu muda berumur 20 hingga 39 tahun, lebih 90% daripadanya lelaki, dan 97% berpunca daripada penularan seksual, yang mengancam matlamat negara menamatkan HIV/AIDS menjelang 2030.
Malaysia juga telah menetapkan sasaran untuk mencapai "Get to Zero HIV" menjelang tahun 2030, selaras dengan matlamat global yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Inisiatif ini bertujuan untuk mencapai tiga objektif utama: sifar jangkitan HIV baharu, sifar kematian berkaitan AIDS, dan sifar diskriminasi terhadap individu yang hidup dengan HIV.
Usaha pencegahan dan kesedaran terhadap HIV/AIDS perlu terus dipertingkatkan, terutama dalam kalangan golongan muda di institusi pengajian tinggi seperti warga USM. Pendekatan komprehensif yang merangkumi pendidikan moral dan agama, termasuk penekanan terhadap kawalan nafsu (abstinence), merupakan langkah terbaik.
Presiden WAFIQ, Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, menyeru pihak kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memerangi gejala HIV di IPT dengan kembali kepada asas perubatan melalui slogan "Say No to Homosexuality”. Beliau menegaskan bahawa homoseksualiti bukan sahaja berisiko tinggi terhadap penularan HIV, tetapi juga haram dalam Islam dan bertentangan dengan biologi serta prinsip sains kesihatan.
Tema Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember 2024 ialah Tunaikan Hak Yang Saksama .Tema ini menyeru semua pihak untuk menggembleng usaha memastikan akses yang saksama kepada perkhidmatan kesihatan berkaitan HIV/AIDS. Selaras dengan tema tersebut, usaha perlu melibatkan program kesedaran, pencegahan, dan rawatan yang menekankan hak kesihatan sebagai hak asasi setiap individu .
Sementara advokasi pencegahan memerlukan pendekatan lebih meluas dan tegas. Sokongan keluarga, hubungan yang sihat, dan pendidikan awal keselamatan reproduktif remaja ,penerapan gaya hidup beragama menjadi elemen penting dalam melindungi generasi muda daripada terjebak dalam gaya hidup berisiko dari awal. Keutamaan kini adalah memperkukuh advokasi dari pelbagai pihak untuk membendung amalan berisiko, di samping meningkatkan kesedaran serta penerimaan terhadap akses saringan dan rawatan HIV/AIDS tanpa wujud stigma sosial yang menjauhkan kita daripada golongan sasaran.
Disediakan oleh : Dr Suriani Binti Ismail