PENYAKIT KENCING MANIS ; JANGAN TUNGGU KOMPLIKASI!
Kencing manis bukanlah suatu penyakit yang tidak diketahui umum. Malah kita sangat biasa dengan istilah penyakit yang ada di Malaysia seperti kencing manis, darah tinggi dan tinggi kolesterol, bak kata orang, “penyakit tiga serangkai” yang boleh membawa kepada pembunuh senyap no 1 iaitu serangan jantung. Persoalannya, sejauh mana kita benar benar mengambil tahu dan mengambil berat tentang kesihatan diri dan berusaha untuk menjaga kesihatan?
Kisah Puan Aminah
Puan Aminah, berusia 50tahun, telah hadir ke klinik kerana jangkitan di ibu jari kaki kirinya. Lebih kurang seminggu Puan Aminah menahan sakit dengan harapan ia boleh sembuh, tetapi hampa. Akhirnya dia menyerahkan diri untuk pergi ke klinik yang terdekat. Di klinik, doctor memeriksa kaki Puan Aminah dan meminta jururawat untuk mengambil bacaan gula. Benar seperti telahan doctor yang merawat, bacaan gula Puan Aminah sangat tinggi, 20mmol/L dan jangkitan di kaki Puan Aminah, bukan jangkitan yang biasa, tetapi “Diabetic Foot Ulcer” iaitu ulser kaki yang disebabkan oleh penyakit kencing manis. Bacaan gula yang tidak terkawal di dalam badan selama beberapa tahun menyebabkan saraf dan sensori kaki rosak dan sukar untuk sembuh.
Diabetic Foot Ulcer. Luka pada kaki yang sukar sembuh,bahagian luka kelihatan pucat dan kulit kaki kering,mengelupas |
Contoh kulit kaki yang sihat, kelihatan kemerah merahan dan tiada kulit menggelupas |
Puan Aminah :Oh, saya ada kencing manis? Tetapi saya rasa sihat tiada sebarang gejala..
Doktor A : Ya, Puan Aminah. Nampaknya sekarang puan mengalami komplikasi kencing manis. Selama ini puan ada buat ujian darah untuk mengetahui tahap kesihatan puan?
Puan Aminah : Hmm, saya tidak pernah buat doktor. Kalau tiada gejala buat apa saya nak buat ujian darah kan.
Doktor A : Tetapi, puan,mengikut rekod kesihatan puan , nampaknya tahun 2015 bacaan gula puan sudah tinggi dan doktor telah memulakan ubat kencing manis. Adakah puan ada menerima rawatan kencing manis di mana mana klinik?
Puan Aminah : Oh, saya terlupa! Dulu pernah sekali doktor kata bacaan gula saya tinggi, tapi selepas itu saya tidak hadir rawatan susulan.Sebenarnya doktor, saya tak suka kena makan ubat. Lagi pun, saya rasa saya sihat sahaja. Tapi, itulah, kali ni sahaja kaki saya luka, tapi lambat pulak nak sembuhnya.
Begitulah kisah realiti yang selalu dijumpai oleh petugas kesihatan. Sudah jatuh, baru tengadah. Sudah dapat komplikasi penyakit, baru ingin dirawat. Apabila telah berlaku komplikasi, keberkesanan rawatan dan prognosisnya adalah rendah. Oleh itu, istilah “Mencegah lebih baik daripada mengubati” selalu ditekankan dalam masalah ini.
Sekiranya anda yang sedang membaca artikel ini berusia 20an, ambil langkah proaktif.Teruskan gaya hidup yang sihat seperti bersenam sekurangnya 30minit sehari untuk 5 hari dan amalkan pemakanan seimbang seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu suku –suku separuh. Elakkan mengikut budaya pergi ke tempat makan hipster dan viral yang kebiasaannya makanan atau minuman yang dihidangkan adalah tinggi gula dan tinggi tahap kolesterol. Berusahalah untuk mengekalkan berat badan yang ideal ( BMI 18.5-24.9kg/m2)
Sekiranya anda berusia 40tahun dan ke atas, pastikan anda membuat ujian saringan darah setiap tahun untuk mengetahui paras gula dan kolesterol di dalam darah walaupun anda tidak mempunyai sebarang gejala. Jadikan amalan untuk menyaring tekanan darah anda dari masa ke semasa dan sekiranya tekanan darah anda kerap lebih daripada 140/90, sila dapatkan nasihat di klinik berdekatan anda. Perkhidmatan saringan kesihatan seperti ujian darah ini ada disediakan di Unit Kesihatan secara percuma atau di Klinik Kesihatan dengan hanya membayar yuran pendaftaran rm1/rm5. Cegah sebelum parah.
Seandainya, anda telah disahkan menghidap penyakit seperti kencing manis, bersabar dan berdamailah dengan takdir. Akur bahawa anda perlu dapatkan rawatan .Sebolehnya, jangan tinggal temu janji anda dengan doktor yang merawat, mengambil ubat seperti yang disaranankan, dan sentiasa pantau bacaan gula anda sebelum dan 2 jam selepas makan. Bagi pesakit kecing manis ,bacaan gula yang terkawal sekiranya anda berpuasa ialah 4.4- 7.0 mmol/L dan 2 jam selepas makan ialah 4.4- 8.5mmol/L. Sekiranya bacaan gula anda sentiasa dalam tahap terkawal, maka secara tidak langsung akan mengurangkan risiko anda untuk mendapat komplikasi kencing manis pada jangka masa hadapan. Bersamalah kita berusaha kearah kelestarian kehidupan yang lebih sihat.
Penulis : Dr Sakinah Binti Md Yusof