ITS OKAY, TO NOT BE OKAY
Isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian dunia, hinggakan pada 10 Oktober setiap tahun diiktiraf sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia. Mental yang sihat akan menghasilkan individu yang produktif dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Pelbagai faktor boleh mempengaruhi kesihatan mental individu dan salah satu daripadanya adalah pengurusan emosi yang seimbang. Pengurusan emosi yang sihat membantu untuk menghasilkan mental yang lebih sejahtera.
KENALI EMOSI
Emosi terbahagi kepada dua kategori :
- emosi positif seperti : gembira, sayang, tenang
- emosi negatif seperti : sedih, marah, benci, cemburu
Kedua kategori emosi ini sangat penting dalam menjalani kehidupan sebagai manusia. Memetik quotes barat, Life is not always a bed of roses. “Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. Itulah hakikat kehidupan di dunia, ada warna warninya. Kadang kadang ada peristiwa yang membuatkan kita gembira, dan kemudian ada peristiwa yang membuatkan kita berduka. Manusia perlukan cabaran dan ujian untuk melahirkan versi terbaik dari diri kita, seperti firman Allah S.W.T,
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (QS Al-Ankabut:2-3).
Emosi negatif tidak semestinya emosi yang buruk jika digunakan pada waktu yang tepat. Seorang anak kecil menangisi kematian kucing kesayangannya. Seorang ayah memarahi anaknya yang didapati mencuri hak orang lain. Pada waktu – waktu seperti itu, secara semulajadinya kita akan menghasilkan emosi yang negatif tetapi itulah yang terbaik pada ketika itu.
Manakala, emosi positif pula merupakan emosi yang menyenangkan tetapi juga boleh menjadi mudarat sekiranya berlebih – lebihan. Berpada dalam mencintai atau menyanyangi seseorang, sekiranya kita berlebihan, sukar untuk kita menerima kehilangannya, seterusnya meningkatkan risiko untuk mendapat masalah mental.
AKUI EMOSI
Setiap emosi yang tuhan anugerahkan kepada manusia adalah penting dan perlu diakui. Sekiranya terdapat peristiwa yang tidak kita sukai berlaku, akui emosi negatif yang hadir pada waktu itu kerana ianya tidak bertentangan dengan lumrah manusia. Its okay to not be okay but only for a while. Emosi perlu dikawal, apa apa emosi yang berpanjangan atau berlebihan akan mendorong ke arah masalah kesihatan mental.
Apabila kita telah sedar dan akui kita berada di kemuncak emosi, perkara kedua yang perlu kita belajar adalah cara untuk melepaskan emosi supaya emosi yang lebih baik boleh hadir. Kita akan rasa lebih lega sekiranya emosi itu dapat disalurkan dengan cara yang betul. Kebiasaannya, komunikasi dua hala merupakan metod yang paling kerap digunakan. Carilah seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan emosi yang dihadapi. Sekiranya kita menjadi pendengar, dengarlah masalah rakan tanpa meletakkan apa apa persepsi, kita tidak berada pada kasutnya. Dengar luahan mereka, dan berilah sokongan, tidak perlu tergesa gesa untuk memberi sebarang cadangan.
Sebagai contoh, ikuti perbualan di bawah :
CONTOH 1 :
Seorang pelajar universiti awam sedang mengalami kesedihan kerana beliau merasakan seperti di pulau oleh rakan sekelas dan cuba meluahkan rasa itu kepada kakaknya.
Adik : Saya sedihlah kakak. Saya tak ada kawan dekat Universiti ni. Kawan sekelas saya semua ada “group” sendiri. Saya ni, pergilah ke sana ke sini seorang diri.
Kakak : Ish, adik ni, kakak dulu zaman Universiti tak de kawan jugak. Fokus dekat pelajaran je. Nanti ramai ramai kawan pun bukan nak tolong masa kita susah. Tak yah fikir sangat pasal nak ada kawan tu.
Apakah reaksi adik? Apakah tindakan adik? Adakah fikiran adik sama seperti kakaknya? Kawan hanya menyusahkan?
CONTOH 2
Adik : Saya sedihlah kakak. Saya tak ada kawan dekat Universiti ni. Kawan sekelas saya semua ada “group” sendiri. Saya ni, pergilah ke sana ke sini seorang diri.
Kakak : Kesian adik kakak, mestilah sedih kalau kita tak ada kawan kan, pergi mana – mana seorang diri je. Hmm, adik rasa adik jenis macam mana? Memang suka bersosial?
Adik : Adik pun tak tau, adik ni tak adalah suka bersosial sangat tapi, rasa sunyi pula kalau tak ada kawan. Nak belajar pun rasa kurang semangat.
Kakak : Oh, kalau sampai menjejaskan pelajaran, susah jugak tu. Mungkin adik perlukan sokongan kawan terutamanya untuk bantu dalam hal pelajaran kan.
Adik : Rasanyalah. Adik tak kisah sangat kalau nak pergi beli makanan sesorang ke, tapi, itulah bila taka da kawan rasa kurang semangat nak belajar. Tahun ni, course susah sedikit berbanding sem 1, sem 2.
Kakak : Kakak faham. Tak pe, perlahan –lahan, kalau ada pelajaran yang adik kurang faham minta seorang kawan tolong terangkan, kalau adik faham, adik pulak terangkan kepada kawan lain. Dengan cara macam tu pun tak langsung adik dah boleh mula berkawan. InsyaAllah, kakak yakin adik boleh buat.
Adik : insyaAllah, kakak doakan adik ye.
Dalam perbualan di atas, kakak kepada adik memainkan peranan untuk memahami, mengakui dan memberi sokongan emosi kepada adik supaya adik menjadi lebih tenang dan mengenal pasti sebab utama dia berasa sedih. Apabila emosi negatif dapat dikeluarkan dengan saluran yang betul, barulah emosi positif akan muncul. Jangan cantas atau menafikan emosi itu, tetapi salurkan kearah yang betul.
Pepatah Melayu ada mengatakan, “ikutkan hati, mati, ikutkan rasa, binasa”. Emosi perlu di pandu dengan kewarasan akal dan fikiran. Orang yang penuh tangki emosinya akan menghasilkan pekerjaan yang lebih baik dan memberi impak yang positif buat masyarakat. Bermula dengan diri sendiri, praktiskan untuk kawal emosi, memilih perkataan yang baik dan jadilah pendengar yang bijak. Semoga EQ dan IQ yang seimbang dapat membentuk tamadun yang lestari.
Penulis : Dr Sakinah Md Yusof