Skip to main content

Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan

Kenali Tanda-Tanda Hipoglisemia Ketika Berpuasa

Hypoglycemia Symptoms 3

Apakah itu hipoglisemia? 

Hipoglisemia ialah keadaan tanda kurang gula dalam badan. Hipoglisemia boleh terjadi apabila paras gula mencecah bawah 3.9 mmol/L .
Apakah kepentingan gula di dalam badan?
Gula boleh digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga, disimpan di dalam hati dan otot sebagai glikogen atau ditukarkan kepada lemak sekiranya tidak digunakan. Sel badan dan sistem saraf bergantung kepada glukosa untuk terus aktif.
Apakah kesan sekiranya badan berterusan kekurangan gula?
 Kekurangan gula yang berterusan dapat mengakibatkan kekejangan otot, penurunan tahap kesedaran sehingga membawa kepada kerosakan  sel otak dan mengakibatkan kematian.
 
Bagaimana ingin mengenali tanda awal hipolisemia?
Antara tanda awal kekurangan gula dalam darah ialah -  badan menggigil, pening, sakit kepala, kerap berpeluh, kelaparan, degupan jantung yang cepat dan warna kulit pucat.
 
Apakah tindakan yang perlu di ambil sekiranya anda merasakan gejala seperti di atas?

Apabila anda atau ahli keluarga anda mengalami tanda hipoglisemia, terutama pesakit kencing manis, anda disarankan untuk mengambil 15-20 gram gula glukos atau karbohidrat ringkas dengan kadar segera.Jika berpuasa, anda perlu segera berbuka. Gula glukos yang boleh digunakan antaranya:

  1. Tablet glukos
  2. Pil atau gel gula
  3. 2 sudu kismis/ sebiji kurma
  4. 1/2 cawan jus
  5. 1 sudu gula atau madu
  6. Gula-gula kecil berbentuk keras seperti jellybeans atau coklat

15 minit selepas mengambil gula, sila periksa kembali aras gula anda. Jika masih rendah, perlu ambil gula sekali lagi dan periksa aras gula dalam darah selepas 15 minit. Ulang sehingga aras normal.  Apabila aras gula menjadi normal,  sila makan sedikit snek jika masa makan anda lebih daripada 1-2 jam selepas daripada masa kejadian

Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami kejadian hipoglisemia serius sehingga tidak sedarkan diri atau mengalami sawan, perlu segera ke hospital untuk mendapat rawatan kecemasan.

* Bagi wanita hamil dalam kategori berisiko tinggi  sila dapatkan konsultasi doktor anda untuk penilaian risiko puasa ketika hamil. Boleh rujuk sini untuk info lanjut.

sumber : IDF DaR Practical Guideline 2021, KKM
 
Disediakan oleh : Dr Sakinah Md Yusof