Skip to main content

Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan

AKTIVITI USMFIT 3.0 : PROGRAM MENDAKI BUKIT LARUT

16 SEPTEMBER 2023- Sabtu, Taiping- Seramai 14 orang staf Unit Kesihatan telah menyertai program mendaki Bukit Larut .Staf yang menaiki kenderaan jabatan tiba di tapak parkir Unit Kesihatan bermula jam 6.30pagi. Tepat jam 7.00pagi, semua staf telah tiba dan bergerak ke lokasi, manakala staf yang menaiki kenderaan sendiri bergerak dari rumah masing-masing mengikut anggaran masa tiba di Bukit Larut iaitu pada pukul 8.00pagi. 

Photo collage HIKING

Pada 8.15pagi, semua staf terlibat selamat tiba di kaki Bukit Larut. Aktiviti dimulakan dengan sesi bergambar sempena Hari Malaysia, dan diikuti sesi regangan badan. Para peserta diingatkan supaya melalukan regangan dengan teknik yang betul untuk mengelakkan kecederaan.

Tepat jam 8.30pagi, warga Unit Kesihatan mula mengorak langkah mendaki Bukit Larut melalui jalan hutan. Jumlah check-point yang dilalui adalah 10 check-point sebelum semua tiba di kawasan jalan bertar. Pendakian diteruskan lagi sehingga tiba di Pondok Watermelon iaitu sekitar jam 11.00pagi, dan semua staf berehat sebentar sebelum pendakian turun.

Semasa sesi bergambar, kami meminta bantuan seorang pelawat yang sedang mendaki kawasan tersebut untuk mengambil gambar kami. Tidak disangka-sangka, rupanya beliau merupakan antara sukarelawan yang bertanggungjawab melestarikan pondok tersebut. Tidak hairanlah pondok tersebut kelihatan kemas dan bersih, dan batu-bata di dinding juga telah dicat dengan warna yang menarik sesuai sebagai latar belakang untuk bergambar. Menurut beliau, kerja-kerja mengecat dan menghias kawasan check-point tersebut dijalankan secara sukarela oleh beliau dan rakan-rakan Jelas kelihatan muka beliau kelihatan bangga dan terharu ketika kami berkumpul di situ untuk bergambar. Kami turut dijamukan dengan teh oolong yang baru sahaja dibancuh oleh sukarelawan tersebut.

Uncle Sukarelawan

Selesai menjamu air teh, kami mengucapkan terima kasih dan mulakan pendakian turun melalui jalan tar pula. Semua staf tiba di kaki bukit sekitar jam 12.30 tengahari dan masing-masing melakukan aktiviti cooling-down bagi mengelak ketegangan otot. Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah di Restoran Wan Ikan Bakar untuk menjamu selera, dan setelah itu baru bergerak pulang ke kampus dan rumah masing-masing. Lebih kurang jam 4.00petang, semua staf telah selamat tiba di rumah masing-masing.

Wan Ikan Bakar

Para peserta sempat menzahirkan perasaan gembira dan teruja kerana berpeluang terlibat dalam program sebegini, dan berharap semoga program ini dapat dijalankan secara berkala. InsyaAllah, unit USMFit akan cuba laksanakan program sebegini dengan lebih kerap dan mempelbagaikan aktiviti di masa akan datang.

Watermelon

Laporan disediakan oleh,  
Dr Azma Hayati binti Mahamad Aziz