Skip to main content

Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan

Bagaimana Cara Untuk Menjaga Gigi Dengan Baik?

KESIHATAN gigi tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberi keyakinan untuk anda berdepan dengan orang ramai. Tanpa penjagaan yang sempurna, anda bakal berdepan dengan masalah-masalah gigi seperti nafas berbau, gigi berlubang, gusi bengkak dan sebagainya.

Malah senyuman manis juga akan lebih terserlah apabila anda miliki barisan gigi yang bersih dan sihat. Berikut merupakan beberapa tip yang boleh diikuti jika anda ingin gigi kekal bersih, putih dan sihat.

1. Berus gigi tiga kali sehari

 

Bagi menjamin kesihatan gigi dan gusi, sebaiknya anda memberus gigi setiap kali selepas makan. Anda disarankan untuk memberus gigi tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan sebelum masuk tidur. Amalan menggosok gigi sebelum tidur dapat membersihkan sisa yang melekat di celah-celah gigi, selain mengelakkan pembiakan bakteria dan mengurangkan karang gigi berlaku.

2. Bersihkan celah-celah gigi

Ketika makan pasti ada makanan yang melekat pada celah-celah gigi. Oleh itu pastikan anda membersihkan sisa-sisa makanan tersebut menggunakan flos bagi mengelakkan gigi anda bebas bakteria.

3. Gunakan pencuci mulut berflorida

Selain memberus gigi, anda juga digalakkan untuk membasuh mulut dengan pencuci mulut berflorida. Lakukan amalan ini setiap kali sebelum tidur sejurus selepas beberapa minit anda memberus gigi. Pilih pencuci mulut berflorida yang tiada kandungan alkohol kerana ia boleh menyebabkan ulser bagi yang mempunyai gusi sensitif.

4. Amalkan pengambilan buah dan sayur-sayuran

Mengambil makanan yang berkhasiat setiap hari sememangnya penting untuk menjamin kesihatan gigi dan gusi. Buah-buahan seperti strawberi, oren, mangga, betik dan sayur-sayuran seperti kubis, bayam dan tomato sangat kaya dengan vitamin C. Ia membantu memelihara kesihatan gusi agar sihat.

5. Berjumpa dengan doktor gigi secara berkala

Anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor gigi secara berkala sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Ini penting agar anda dapat mengetahui kesihatan gigi anda dan cara rawatan yang sewajarnya bagi mendapatkan tip penjagaan gigi dan kesihatan mulut yang betul.

6. Kunyah gula-gula getah selepas makan

Gula-gula getah yang dikunyah selepas makan berfungsi sebagai agen pembersih sisa-sisa makanan yang melekat pada gigi. Namun pastikan gula-gula getah yang anda ambil itu mengandungi kandungan gula yang rendah dan tidak manis bagi mengelakkan timbul masalah lain.